Turkiye semakin menjadi pilihan utama pelancong dari Malaysia dan Indonesia. Ia menjadi pilihan bagi kaki melancong kerana keindahan semula jadinya, sejarah islam dan gabungan budaya Timur dan Barat. Kali ini saya akan kongsikan dengan pembaca bagaimana merancang perjalanan anda untuk kesana sebelum anda melancong ke Turkiye. Bermula daripada Visa, Bajet, Pengangkutan sehingga tips yang mungkin boleh digunapakai semasa di sana.
1. Perlu ke untuk memohon visa untuk melancong ke Turkiye?
Soalan ini seringkali ditanya bagi yang baru pertama kali ke Turkiye. Disini saya menjawab soalan ini.
Bagi warganegara Malaysia, anda tidak memerlukan visa untuk memasuki Turkiye bagi tempoh lawatan tidak melebihi 90 hari.
Untuk warganegara Indonesia, anda perlu memohon e-visa, yang boleh dilakukan dengan mudah secara dalam talian melalui laman web rasmi: https://www.evisa.gov.tr
Harus diingat, walaupun visa ke Turkiye dari Malaysia tidak diperlukan, namun sekiranya anda tinggal di sana lebih daripada 90 hari atau masuk sebagai pelajar atau bekerja, anda memerlukan visa.
Tips:
- Pastikan pasport sah sekurang-kurangnya 6 bulan dari tarikh masuk.
- Simpan salinan cetakan e-visa dan tiket penerbangan anda.
2. Anggaran Bajet (7-10 Hari)
Tiket Penerbangan : RM 2,000 – RM 3,000 (Pergi dan Balik)
Penginapan : RM 100 – RM 200 semalam X 9 Malam = RM 900 – RM 1,800
Makanan : RM 40 – RM 60 sehari X 9 = RM 360 – RM 540
Pengangkutan : RM 150 – RM 300 (termasuk metro, teksi, bas)
Tiket Tempat lawatan : RM 200 – RM 500 (bergantung kepada lokasi)
Jumlah : RM 3,600 – RM 6,000
Nota: Jika anda melancong dalam berkumpulan, memilih hostel daripada hotel dan menggunakan pas penlancong khas, bajet anda mungkin akan berkurangan.
Semua kiraan yang dibuat adalah berdasarkan harga asas dan berkemungkinan akan lebih tinggi jika anda pergi pada musim puncak (Peak Seasons)
3. Cara Bergerak di Turkiye
Jika anda berada di Turki, jangan risau untuk menaiki pengangkutan awam kerana caranya amat mudah. Dibawah saya senaraikan cara dan pengankutan awam yang boleh digunakan sepanajang di Turkiye bagi memudahkan pergerakan anda.
Istanbul mempunyai sistem metro, tram dan bas yang luas. Gunakan IstanbulKart – kad prabayar yang boleh digunakan untuk semua pengangkutan awam.

Istanbulkart boleh didapati di lapangan terbang atau stesen metro. Sama seperti di Malaysia, kita menggunakan TouchNgo untuk kemudahan awam. IstanbulKart ini boleh diisi semula di mesin layan diri yang juga mempunyai kemudahan bahasa inggeris.
Kelebihan IstanbulKart:
- Pelbagai Guna – IstanbulKart boleh digunakan bukan sahaja pada satu kemudahan pengangkutan, tetapi boleh digunakan untuk menaiki Tram, Feri, Bas dan metro.
- Pra Bayar – Kad ini menggunakan sistem pra bayar. Setiap pengguna boleh menambah nilai di mesin layan diri yang disediakan.
- Multi Pengguna – Kad ini boleh digunakan sehingga 5 pengguna setiap kad. Contohnya, jika anda melancong berlima dan mempunyai satu sahaja kad IstanbulKart, semasa menaiki tram anda boleh tap kad untuk pembayaran pengguna pertama dan tunggu beberapa saat sebelum tap untuk membuat pembayaran bagi pengguna kedua.
Teksi menggunakan aplikasi
Gunakan aplikasi BiTaksi untuk menempah teksi dengan harga lebih telus. Elakkan teksi yang tidak menggunakan meter.

Menggunakan aplikasi BiTaksi lebih mudah kerana kita mudah untuk memastikan secara tepat dimana kita mahu teksi turunkan kita. Aplikasi ini juga mudah dan mesra pengguna pelbagai lapisan umur.
Bas antara bandar (Intercity Bus)
Gunakan perkhidmatan seperti Metro Turizm atau Kamil Koç untuk ke bandar-bandar seperti Cappadocia, Pamukkale atau Bursa.


4. Tempat Menarik Wajib Dilawati
Turkiye memang terkenal dengan tempat-tempat yang menarik dan bersejarah. Tetapi apabila kekangan masa dan jarak menjadi penghalang, disini saya senaraikan tempat-tempat menarik yang wajib dilawati apabila tiba di Turkiye dan menggambarkan sejarah Turkiye yang panjang.
ISTANBUL
Hagia Sophia

Kalau anda ke melancong ke Turkiye lebih-lebih lagi jika ke Istanbul, satu tempat yang memang tak boleh dilepaskan ialah Hagia Sophia. Bangunan ini bukan saja cantik dari luar, tapi penuh dengan sejarah yang sangat menarik. Nama dia mungkin kedengaran ‘barat sikit’, tapi sebenarnya tempat ni sangat dekat dengan sejarah Islam juga.
Asalnya, Hagia Sophia dibina pada tahun 537 Masihi sebagai sebuah gereja besar oleh empayar Byzantine. Tapi bila Sultan Muhammad Al-Fatih menawan Kota Konstantinopel pada tahun 1453, beliau tukarkan bangunan ini jadi masjid. Masa tu, Hagia Sophia jadi simbol kemenangan Islam dan terus jadi masjid utama di Istanbul selama beratus tahun.
Kemudian, pada zaman moden, kerajaan Turki tukarkan Hagia Sophia jadi muzium pada tahun 1935. Ramai pelancong datang setiap tahun untuk lihat sendiri seni bina dan mozek dalamannya yang luar biasa. Tapi pada tahun 2020, ia diisytiharkan semula sebagai masjid, dan sekarang masih dibuka untuk pelancong – cuma ada ruang tertentu yang ditutup masa waktu solat.
Apa yang buat Hagia Sophia istimewa ialah gabungan dua dunia – ada mozek Kristian lama, ada juga kaligrafi Islam yang megah tergantung dalam dewan utama. Ia macam satu simbol bagaimana sejarah dua tamadun besar bertemu dalam satu bangunan. Masuk je ke dalam, anda pasti akan rasa terpegun dengan seni bina kubah besarnya dan suasana yang sangat tenang.
Pendek kata, kalau anda ke Turkiye, rugi sangat kalau tak singgah ke Hagia Sophia. Bukan sekadar nak ‘check-in’ Instagram, tapi untuk rasa sendiri betapa kayanya sejarah yang pernah berlaku di sini.
Blue Mosque

Dibina pada awal abad ke-17, masjid ni masih digunakan untuk solat sampai hari ini, tapi pelancong tetap boleh masuk melawat (cuma perlu hormati waktu solat dan berpakaian sopan ya). Apa yang menarik, masjid ni ada enam menara tinggi, yang menjadikannya berbeza dari kebanyakan masjid lain.
Bila anda masuk ke dalam, anda akan terpegun dengan hiasan dalaman—ratusan lampu gantung, tingkap kaca berwarna, dan ubin biru yang menghiasi dinding dan siling. Memang cantik dan sangat damai. Rasa macam masuk ke dalam dunia lain!
Blue Mosque ni terletak betul-betul berdepan dengan Hagia Sophia, jadi anda boleh lawat dua ikon Istanbul dalam satu masa. Dan jangan lupa, suasana kawasan sekeliling pun sangat menarik—ada taman, air pancut, dan ramai penjual makanan jalanan.
Ringkasnya, kalau nak rasa pengalaman Istanbul yang sebenar, Blue Mosque memang tak boleh tertinggal dalam itinerary melancong ke Turkiye anda.
Topkapi Palace

Bayangkan berjalan dalam istana tempat tinggal sultan-sultan Uthmaniyyah zaman dulu—itulah pengalaman yang anda akan rasa bila lawat Topkapi Palace di Istanbul. Istana ni bukan biasa-biasa, sebab dulu ia adalah pusat pemerintahan empayar Islam terbesar di dunia selama lebih 400 tahun!
Topkapi ni luas sangat, macam satu kota dalam kota. Ada taman, bilik-bilik rasmi, dapur besar, dan yang paling menarik—Harem, tempat tinggal keluarga diraja. Tapi yang paling buat orang teruja, ada koleksi artifak Islam seperti jubah dan pedang Nabi Muhammad SAW yang disimpan dengan penuh hormat.
Seni bina dia memang klasik Turki, penuh ukiran halus, mozek cantik, dan pemandangan menghadap Selat Bosphorus yang sangat memukau. Kalau anda suka sejarah, sini memang tempat yang tak patut dilepaskan.
Nak ambil gambar pun memang puas hati—setiap sudut ada nilai estetika tersendiri. Cuma datang awal sikit ya, sebab tempat ni popular dan boleh jadi agak sesak.
Jadi kalau anda ke Istanbul, pastikan Topkapi Palace masuk dalam senarai wajib lawat. Serius, rasa macam balik ke zaman keemasan Islam!
Grand Bazaar

Grand Bazaar ialah salah satu pasar tertutup terbesar dan tertua di dunia, terletak di Istanbul, Turki. Dibuka sejak abad ke-15, pasar ini mempunyai lebih daripada 4,000 kedai dan meliputi kawasan seluas 30,000 meter persegi. Ia terkenal dengan suasana yang meriah dan pelbagai barangan seperti permaidani, barang kemas, tekstil, rempah ratus, seramik dan kraftangan tempatan. Grand Bazaar bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong, tetapi juga memainkan peranan penting dalam ekonomi tempatan. Keunikan seni bina dan sejarahnya menjadikan bazar ini salah satu destinasi ikonik di dunia.
Taksim Square

Taksim Square ialah sebuah dataran utama yang terletak di tengah-tengah Istanbul, Turki. Ia dianggap sebagai pusat sosial, budaya dan politik bandar tersebut. Dataran ini menjadi tempat pertemuan utama bagi penduduk tempatan dan pelancong, serta lokasi bagi pelbagai acara, perarakan dan demonstrasi. Di sekeliling Taksim Square terdapat banyak hotel, restoran, pusat beli-belah dan laluan ke jalan terkenal Istiklal Street. Tugu Kemerdekaan yang terletak di tengah dataran ini memperingati penubuhan Republik Turki pada tahun 1923. Taksim Square mencerminkan kehidupan moden Istanbul sambil mengekalkan nilai sejarahnya.
CAPPADOCIA
Hot Air Balloon

Penerbangan belon udara panas di Cappadocia merupakan salah satu tarikan pelancongan paling ikonik di Turki. Kawasan ini terkenal dengan lanskap uniknya yang terdiri daripada formasi batuan semula jadi, lembah-lembah luas dan “cerobong peri” yang menakjubkan. Setiap pagi, ratusan belon udara panas menghiasi langit ketika matahari terbit, menawarkan pemandangan yang menakjubkan dari udara. Pengalaman ini bukan sahaja memukau dari segi visual, tetapi juga memberikan kenangan yang tidak dapat dilupakan kepada para pengunjung. Aktiviti ini sangat popular dan menjadi simbol keindahan semula jadi serta keunikan Cappadocia.
Uchisar Castle

Uchisar Castle ialah sebuah kubu batu purba yang terletak di titik tertinggi Cappadocia, Turki. Terbentuk daripada batu gunung berapi yang lembut, istana ini diukir secara semula jadi dan buatan tangan menjadi terowong, bilik, dan laluan rahsia. Dari puncaknya, pengunjung dapat menikmati pemandangan panoramik yang menakjubkan merentasi lanskap Cappadocia, termasuk Lembah Goreme dan gunung-gunung di sekitarnya. Dahulunya digunakan sebagai tempat perlindungan dan menara tinjau, Uchisar Castle kini menjadi destinasi pelancongan yang popular kerana nilai sejarah dan keindahan alam sekitarnya.
Pamukkale & Hieropolis
Travertine Terraces

Travertine Terraces ni ibarat tangga-tangga ajaib yang terbentuk secara semula jadi. Biasanya kita boleh jumpa formasi unik ni di tempat macam Pamukkale di Turki atau Yellowstone di Amerika Syarikat. Air panas yang kaya dengan mineral mengalir keluar dari dalam bumi, dan bila air tu sejuk, ia tinggalkan mendapan kalsium karbonat. Lama-lama, mendapan tu membentuk lapisan bertingkat yang nampak macam kolam infiniti versi semula jadi.
Warna dia pula boleh berubah – putih bersih, biru kehijauan, kadang-kadang kekuningan – bergantung pada kandungan mineral dan cahaya matahari. Memang cantik sangat, sampai rasa macam kat dunia lain.
Kalau korang nak tengok keajaiban geologi sambil rileks dalam kolam air panas, Travertine Terraces ni memang tempat wajib masuk bucket list!
Hierapolis Ancient City


Bayangkan jalan-jalan dekat kawasan bukit, kiri kanan ada runtuhan tiang batu, teater lama yang luas, dan kolam panas semula jadi yang masih aktif — itulah Hierapolis, kota purba yang terletak kat atas Travertine Terraces di Pamukkale, Turki.
Hierapolis ni dulu merupakan kota Rom yang glamour gila. Orang zaman dulu datang sini untuk berubat dan bersantai, sebab air panas dari bawah tanah konon ada kuasa penyembuhan. Sampai sekarang, ada kolam purba (Cleopatra Pool) yang kita boleh mandi, sambil berenang antara tiang dan serpihan bangunan lama. Cool, kan?
Selain kolam, ada juga teater besar yang masih berdiri kukuh – boleh bayang suasana zaman dulu dengan penonton bersorak. Jalan batu, sisa kuil, dan makam-makam besar pun masih terjaga rapi. Pendek kata, kalau minat sejarah tapi nak chill juga, Hierapolis ni memang tempat yang kena masuk dalam wishlist.
5. Tips Penting Untuk Pelancong Muslim
Semak Status Halal
Di Malaysia, JAKIM atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bertanggungjawab dalam memastikan makanan atau produk-produk serta perkhidmatan mendapat kelulusan.
Logo ‘Halal’ merupakan satu inisiatif yang dilakukan oleh agensi ini dalam membantu orang ramai mengenal sesuatu produk itu mematuhi syariat Islam.
Walau bagaimanapun, sekiranya anda merancang ke luar negara, logo halal pada makanan dan minuman pastinya berbeza daripada Malaysia, yakni tiada logo dari JAKIM.
Jadi, bagaimana langkah yang boleh dilakukan oleh individu beragama Islam dalam menyemak status makanan di luar negara sama ada halal ataupun tidak mengikut ketetapan institusi agama di situ?
Sebenarnya, mudah sahaja, apa yang perlu anda lakukan adalah dengan memuat turun aplikasi ‘Verify Halal’.

Gunakan aplikasi Muslim Pro untuk rujukan waktu solat dan arah kiblat.
Tempoh masa siang dan malam di luar negara mungkin berbeza dengan malaysia lebih-lebih lagi bagi negara 4 musim.
Anda disarankan menggunakan applikasi Muslim Pro untuk memastikan waktu solat dan arah kiblat tempat anda menginap. Walau bagaimanapun, turkiye adalah sebuah negara yang majoriti adalah islam dan ini memudahkan para pelancong islam semasa disana.
Ditambah pula disana sangat banyak masjid boleh didapati. Banyak masjid disediakan untuk solat, bahkan di pusat membeli-belah.
Penutup
Melancong ke Turkiye adalah pengalaman yang luar biasa — sama ada anda pencinta sejarah, pencari pemandangan semula jadi, atau penggemar makanan. Dengan perancangan yang baik, anda boleh menikmati percutian yang selesa, menyeronokkan dan berbaloi dari segi kos.
Semoga panduan ini membantu anda merancang perjalanan impian ke Turkiye. Selamat bercuti dan selamat melancong!


Di mana nak menginap dan airport
kita akan menginap di hotel-hotel di beberapa bandar di Bolu,Istanbul, Cappadocia, Pamukkale dan Bursa. Untuk airport kita menggunakan Istanbul Airport atau Sabiha Gokcen Airport.