Mesir adalah salah satu destinasi pelancongan tertua di dalam dunia dan merupakan antara tempat impian pelancong dari seluruh dunia. Mesir merupakan sebuah negara di Rantau Afrika Utara. Tidak dapat dinafikan terdapat banyak tempat menarik di Mesir yang popular seperti Piramid dan Monumen kuno.
Selain itu, masih terdapat banyak lagi tempat yang menarik untuk anda jelajahi seperti pelayaran di Sungai Nil yang umumnya dianggap sebagai sungai yang terpanjang di dunia.
Dengan menjejakkan kaki anda di negara Mesir ini pasti ia dapat menghidupkan kembali memori dan pengetahuan yang telah dipelajari semasa di bangku sekolah. Bagi anda yang merancang untuk melancong ke Mesir, kami telah menyenaraikan beberapa tempat menarik yang wajib dijadikan sebagai destinasi utama untuk lawatan anda nanti.
7 Tempat Menarik di Mesir Yang Wajib Anda Lawati
1. Cairo
Cairo merupakan ibu negara Mesir. Bandar metropolitan ini adalah salah satu bandar terbesar di Afrika dan Timur tengah yang mana sekaligus menjadikan ia bandar terbesar di negara Mesir itu sendiri. Di Cairo ini terdapat Piramid Giza dan Sphinx terbesar yang terkenal.
Kalau anda nak tahu, Sphinx ini hanya terletak bersebelahan sahaja dengan Piramid Giza. Jadi, sekiranya anda pergi ke sini anda akan dapat melihat kedua-dua monumen besar ini dalam satu masa.
Selain daripada itu, pengalaman berlayar di Sungai terpanjang di dunia iaitu Sungai Nil wajib dijadikan salah satu bucket list destinasi utama lawatan anda.
Manakala untuk melihat barang-barang kuno, kebudayaan dan kepentingan sejarah, anda bolehlah melawat beberapa muzium menarik di Mesir yang terdapat di sekitar Cairo ini.
Sekiranya anda ingin melihat keindahan seni bina Islam yang menarik di Mesir pula, anda boleh lah mengunjungi masjid-masjid yang terdapat di sini dan salah satu daripadanya adalah Masjid Muhammad Ali. Masjid ini merupakan masjid yang paling ramai dikunjungi pelancong kerana ia diakui ramai sebagai salah satu tempat menarik di Mesir.
Tidak lupa juga tempat untuk membeli buah tangan untuk dihadiahkan kepada yang tersayang dan sahabat handai, anda bolehlah meninjaunya di pasar tertua Cairo iaitu Khan el-Khalili. Khan el-Khalili ini merupakan pasar utama bagi pusat sejarah Islam di Cairo.
2. Alexandria
Alexandria merupakan bandar raya pelabuhan Mediterranean dan bandar kedua terbesar di Mesir. Bandar raya ini dinamakan sempena nama pengasasnya iaitu Alexander Agung yang mempunyai nama julukan sebagai Pearl of the Mediterranean. Bandar raya ini merupakan rumah kepada perpustakaan besar yang kini dinamakan Bibliotheca Alexandrina.
Alexandria terkenal dengan keagungan sejarah dan senibina bangunan yang luar biasa. Maka, tidak hairan lah perpustakaan ini menjadi tarikan utama pelancong yang tidak ingin melepaskan peluang menjejakkan kaki ke tempat-tempat menarik di Mesir ini.
Setelah anda mengunjungi perpustakaan ini, anda juga amat disyorkan untuk melawat Muzium Alexandria yang cuma mengambil masa 20 minit dengan berjalan kaki atau 5 minit sahaja sekiranya menaiki kenderaan ke tempat tersebut.
Tidak lupa juga, anda masih boleh meluangkan waktu yang berbaki di sana untuk melawat ke Al Montaza Garden dan melihat keindahan pantai di laut Mediterranean.
3. Faiyoom
Bandar yang terkenal sebagai bandar paling subur di Mesir ini adalah merupakan bandar yang dipertanggungjawabkan kepada Nabi Yusuf AS ribuan tahun yang lalu.
Selain terkenal dengan tanah yang subur, ia juga dikenali sebagai tempat peninggalan sejarah penting yang mana di sinilah terdapat kawasan yang mempunyai kesan runtuhan bangunan yang dipercayai merupakan Istana Qorun. Selain itu, anda juga boleh melihat kincir air peninggalan Nabi Yusuf AS.
4. Aswan
Bandar Aswan terletak di selatan Mesir dan pada mulanya ia dipanggil Nubia oleh orang-orang tempatan. Dengan keramahan penduduk setempat, anda akan merasa lebih mudah untuk menjelajah bandar Aswan ini.
Sungai Nil merupakan antara tempat menarik di Mesir yang selalu dilawati oleh pelancong. Hal ini kerana pemandangan sungai Nil amat cantik jika dihayati dari tempat ini dan ramai pelancong yang tidak akan melepaskan peluang untuk berlayar di sepanjang sungai Nil dan melihat pemandangan padang gurun di sekitarnya.
Aswan mempunyai iklim padang pasir yang panas seperti di seluruh mesir dan juga merupakan salah satu bandar terpanas dan paling kering di dunia. Namun, keadaan iklim sebegitu tidak menghalang anda untuk menikmati keindahan yang terdapat di bandar Aswan.
Selain daripada pemandangan yang cantik di sungai Nil , anda juga perlu melawat ke Nubian Village di Elephantine Island untuk melihat beberapa tapak arkeologi di pulau itu.
Seterusnya, anda juga harus melawat ke Aga Khan Mausoleum yang merupakan makan Aga Khan III Sultan Muhammed Shah. Makam yang dibina dari batu kapur merah jambu ini dibina dengan gaya yang mirip dengan makam Fatimiyah di Cairo.
5. Kom Ombo
Kom Ombo merupakan Kawasan pertanian terbesar di selatan Gebel el-Silsila dan ianya terletak di antara Aswan dan Edfu. Kuil zaman purba Ptolemaic Kom Ombo juga terkenal dengan strukturnya yang unik dan mumia buaya.
Sekiranya anda berasa tertarik untuk melihat buaya yang dijadikan mumia, anda boleh lah melawat ke Muzium buaya ini. Ia terletak berdekatan sahaja dengan Kuil Kom Ombo.
Manakala, Kira-kira 30 kilometer di utara Aswan, terdapat Kuil yang dibina pada zaman Graeco-Rom yang dikhususkan untuk dewa buaya, Sobek dan tuhan yang berkepala telur, Horus. Di sana juga anda boleh melihat beberapa buaya mumia di kuil tersebut.
6. Edfu
Bandar ini terletak di barat Sungai Nil antara Esna dan Aswan dan juga merupakan tapak Kuil Ptolemaic Horus serta penempatan Kuno. Di sini terdapat sisa piramid purba yang terletak sekitar 5 Kilometer di utara Edfu.
Bandar ini juga terkenal sebagai salah satu tempat menarik di Mesir kerana terdapat kuil Ptolemaik utama yang dibina antara tahun 237SM dan 57 SM semasa pemerintahan Cleopatra VII di sini.
Selain itu, terdapat juga kuil yang bernama Kuil Horus untuk anda lihat keunikan binaannya yang mana diperbuat daripada blok batu pasir.
7. Luxor
Luxor adalah bandar yang terletak di Selatan Mesir yang menjadi tapak Kota Waset pada Zaman Mesir Purba. Ia lebih dikenali sebagai Thebes oleh orang Yunani.
Luxor merupakan salah satu tempat menarik di Mesir dan menjadi tumpuan ribuan pelancong dari seluruh dunia setiap tahun kerana ia merupakan muzium terbuka yang terbesar di dunia. Keunikan runtuhan kuil di Karnak dan Luxor yang berdiri di tengah-tengah bandar moden ini menjadi tarikan kepada pelancong.
Sekiranya anda berminat dengan bidang kesenian, anda bolehlah melawat ke Kilang Alabaster di Luxor dan membeli buah tangan dari sana.
Tidak lengkap sekiranya anda tidak pergi ke Colossi of Memnon ataupun dikenali sebagai Es-Salamat dalam Bahasa Arab. Colossi of Memon ini merupakan dua patung besar Firaun Amenhotep III yang mana merupakan pemerintah Mesir semasa Dinasti XVII. Dua patung besar ini terletak di Theban Necropolis di sebelah barat Sungai Nil di Luxor.
Apa Lagi! Jom Melancong Ke Mesir
Tempat-tempat yang disenarai pendekkan ini tidak dapat difahami secara menyeluruh sekiranya anda masih tidak menjejakkan kaki ke Mesir. Rancang percutian anda dengan bijak sekarang dan moga entry ini banyak membantu anda.